19 April 2014

MAJALAH HUMOR MELAYU DAN CABARAN PEMASARANNYA - BHG 1...

PENDAHULUAN

PENERBITAN majalah di negara ini mempunyai hubungan rapat dengan penerbitan akhbar. Pada tahap awal abad ke-20, penerbit majalah juga merupakan penerbit akhbar. Walau bagaimanapun, perkembangan penerbitan majalah Melayu lebih pesat daripada penerbitan akhbar. Menjelang tahun 1940, sebanyak 129 buah periodikal diterbitkan dengan 76 daripadanya majalah. Penyelidikan oleh Roff pula mendapati sebanyak 172 periodikal diterbitkan di antara 1876 sehingga 1941 dengan 114 daripadanya merupakan majalah. Jumlah ini bertambah kepada 241 pada tahun 1968. Menjelang tahun 1997, sebanyak 834 buah majalah dalam bahasa Melayu telah diterbitkan. Ini menunjukkan bahawa sejak tahun 1968 hingga 1997, penerbitan majalah-majalah dalam bahasa Melayu telah bertambah sebanyak 288 peratus.

Dalam tempoh tujuh tahun dalam dekad 90-an, sebanyak 143 buah majalah telah diterbitkan dan jumlah ini mengatasi jumlah majalah yang diterbitkan dalam tahun 1980-an. Hal ini menunjukkan bahawa jumlah majalah yang diterbitkan semakin bertambah walaupun saingan yang terpaksa dihadapi sama ada daripada majalah yang lain atau media yang berhubungan dengannya semakin sengit. Yang jelas, pengembangan media lain seperti buku, akhbar, radio dan televisyen serta pengenalan media baru seperti internet tidak banyak menjejaskan penerbitan majalah di negara ini. Malahan dalam beberapa keadaan, media-media itu turut berperanan untuk melahirkan majalah-majalah baru.

Majalah, yang berasal daripada kata Arab, makhazin, merupakan campuran pelbagai jenis tulisan dan gambar yang dipersembahkan untuk memberi pengetahuan, maklumat atau hiburan. Atas sifatnya sebagai storehouses yang mengandungi pelbagai maklumat yang ringkas dan tepat, majalah mudah dijadikan bahan bacaan ringan dan ringkas yang tidak dapat disediakan oleh buku dan menyiarkan analisis serta preview yang tidak dapat disuguhkan oleh akhbar. Sifat majalah cukup sesuai dengan masyarakat yang rata-rata bukan "masyarakat pembaca." Oleh sebab itu, majalah yang paling laris lazimnya kurang menyiarkan teks tetapi gambar-gambar dan lukisan kartun.

Dalam perusahaan penerbitan majalah Melayu kini, terdapat lima faktor utama yang menentukan arah dan alirannya. Faktor-faktor itu ialah kejayaan majalah Gila-Gila, kejayaan Wanita, kebangkitan semula Islam, kejayaan URTV dan kejayaan Roda-Roda. Kelima-lima faktor itu menentukan arah aliran dan perkembangan majalah-majalah Melayu semasa dan mungkin sehingga suku abad akan datang. Secara kebetulan pula, faktor-faktor majalah yang disebutkan itu, kini memimpin majalah-majalah yang sejenis dengannya.

Gila-Gila sudah hampir 20 tahun memimpin majalah humor, Wanita pula terus mendahului majalah-majalah wanita lain, URTV terus mengepalai majalah-majalah hiburan dan Roda-Roda mampu mengetuai majalah-majalah berbentuk hobi dan sukan, walaupun kedudukannya tidak sekukuh tiga majalah yang disebutkan tadi. Satu faktor lagi, iaitu kebangkitan semula Islam, tidak dikepalai mana-mana majalah, sebaliknya lebih kurang 12 majalah berbentuk agama bersaing sesama sendiri untuk menarik minat pembaca.

Penerbitan majalah-majalah Melayu sekurang-kurangnya sejak awal tahun 1980-an, banyak ditentukan daripada faktor-faktor itu. Jumlah majalah Melayu yang terdapat di pasaran negara ini bertambah daripada 60 buah pada tahun 1990 kepada 93 buah pada Oktober 1997. Secara purata, 18 buah majalah baru diterbitkan setiap tahun dengan sembilan buah diberhentikan. Sejak tahun 1995, jumlah majalah baru yang diterbitkan setiap tahun melebihi 20 buah.

Angka-angka tersebut menunjukkan bahawa walaupun terdapat kenaikan dari segi kos pengeluaran majalah, terutamanya akibat kenaikan kos kertas mulai Julai 1995, pengeluaran majalah-majalah baru tidak terjejas. Dalam tempoh tujuh tahun sejak 1990, sebanyak 28 buah majalah humor telah berada di pasaran. Daripada jumlah itu, 13 buah majalah tidak dapat bertahan dengan empat buah daripadanya hanya dapat bertahan kurang setahun. Selain majalah wanita yang dalam tempoh itu bilangannya 34 buah, majalah berbentuk humor cukup banyak diterbitkan.


NOTA: Artikel ini merupakan salinan semula daripada kertas kerja Prof Madya Dr Hamedi Mohd Adnan dari Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya pada tahun 1997. Terdapat sedikit penyuntingan dan olahan semula bagi disesuaikan dengan pembacaan di blog ini.

Majalah Humor Melayu Dan Cabaran Pemasarannya - Bhg. 2...
Majalah Humor Melayu Dan Cabaran Pemasarannya - Bhg. 3...
Majalah Humor Melayu Dan Cabaran Pemasarannya - Bhg. 4...
Majalah Humor Melayu Dan Cabaran Pemasarannya - Bhg. 5...

1 comment:

jaasennahigian said...

Casino and Slot Machines by MGM - Dr.MD
In 속초 출장샵 this review, we'll take a closer look at what's coming, 사천 출장샵 including slots and table 경상북도 출장안마 games, plus current features and 아산 출장안마 pros 공주 출장마사지 and cons of playing at MGM