03 May 2014

MAJALAH HUMOR MELAYU DAN CABARAN PEMASARANNYA - BHG. 3...

Gila-Gila keluaran pertama,
April 1978.
MUNCULNYA GILA-GILA
PENERBITAN Murni diubah kepada Creative Enterprise pada tahun 1976 dan berpejabat di Tynton View, Cheras sebelum berpindah ke Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur pada tahun 1978. Gabungan ilustrator dan kartunis muda seperti Mishar yang juga penulis, Jaafar Taib, bekas ilustrator di Syarikat Utusan Melayu dan Syarikat Variapop, Zainal Buang Hussein, bekas ilustrator di Syarikat Utusan Melayu bersama-sama Azman Yusof yang pernah menjadi ilustrator di Variapop, Rosdin, Rejabhad yang selepas menjadi tentera cuba menerokai bidang perkartunan, dan Nan yang juga ilustrator di Utusan Melayu telah melahirkan Gila-Gila pada April 1978. Penerbitan Gila-Gila ini menjadi turning point terhadap perkembangan majalah-majalah humor yang sehingga kini mendominasi majalah-majalah Melayu, bersama-sama majalah wanita dan hiburan.

Mishar, pengasas Gila-Gila,
Batu Api
dan Falsafah Batu Api.
 Gila-Gila terbit daripada pengaruh majalah Mad dari Amerika Syarikat dan nama majalah itu sendiri diperoleh daripada Mad. Pada peringkat awal terbitannya, banyak kartun dan teknik perkartunan Gila-Gila yang dicedok atau diubah suai daripada Mad sehingga jelas bahawa Gila-Gila pada peringkat awal merupakan carbon copy kepada Mad. Namun, kandungan Gila-Gila cukup sesuai dengan pembaca Melayu yang rata-rata kurang sedar akan kehadiran Mad dalam lingkungan pembacaan mereka.

Minat pembaca Melayu yang ketika itu masih didefinisikan dengan majalah berbentuk hiburan dieksploitasi dengan bijak oleh para penulis dan kartunis awal Gila-Gila. Majalah itu masih mahu memaparkan mesej hiburan dengan imej kartun kerana itulah yang diminati pembaca pada ketika itu. Kartun-kartun utama dalam keluaran awal Gila-Gila lazimnya merupakan tayangan semula filem-filem Melayu yang popular dalam bentuk kartun. Dalam keluaran pertama umpamanya, populariti pelawak A.R. Badul yang ketika itu sedang top dengan filem Si Badulnya, dikartunkan oleh Gila-Gila. Dengan berbuat demikian, kartunis mempunyai rujukan cerita humor yang mahu dipaparkannya, cuma memerlukan ubah suai babak-babak yang menarik perhatian.

Gila-Gila keluaran pertama diterbitkan sebanyak 9,000 naskhah, tetapi dalam tempoh seminggu sahaja, majalah itu habis dijual sehingga memaksa penerbitnya mengulang cetak majalah itu - suatu hal yang amat luar biasa dalam penerbitan majalah Melayu. Atas permintaan ramai, Gila-Gila mula diterbitkan secara dwimingguan mulai 1 Februari 1979 sehinggalah edaran puratanya melebihi 100,000 setiap keluaran dengan purata sirkulasi pada 1993 mencapai 150,000 naskhah.

PENGARUH GILA-GILA
KEJAYAAN Gila-Gila ini membuka mata para pengusaha penerbitan di negara ini bahawa majalah bercorak humor boleh diterokai untuk memperoleh untung, bukan lagi majalah-majalah hiburan yang menjadi dominan sebelum kemunculan Gila-Gila itu. Hasilnya, pelbagai jenis dan nama majalah humor lain diterbitkan dan walaupun sebahagian besar majalah itu tidak mampu bertahan lama di pasaran, namun beberapa buah majalah humor telah dapat bertahan sehingga lebih 20 atau 10 tahun. Ini menunjukkan bahawa penerbitan majalah-majalah yang dapat bertahan lama itu menguntungkan atas fahaman umum bahawa keuntungan yang selesa dalam penerbitan majalah dapat diperoleh jika dapat bertahan di pasaran lebih empat tahun. Pendapat umum di kalangan penerbit majalah di negara ini menyatakan bahawa empat tahun merupakan masa yang munasabah untuk mengukur kejayaan sesebuah majalah dari segi komersial. Lazimnya penerbit akan mengalami kerugian pada tahun pertama, mencapai break-even point pada tahun kedua, dan memperoleh sedikit untung pada tahun ketiga. Bagaimanapun pada tahun ketiga itu digunakan untuk menampung kerugian pada tahun pertama.


Keluaran pertama majalah Ujang,
Januari 1994.
Satu hal yang menarik ialah kebanyakan majalah humor sama ada yang pernah diterbitkan atau masih dalam penerbitan kini mempunyai hubungan langsung atau tidak langsung dengan Gila-Gila. Kedudukan ini samalah dengan kedudukan majalah-majalah tentang wanita yang mempunyai hubungan langsung atau tidak langsung dengan majalah Wanita. Umpamanya, majalah-majalah Batu Api (Januari 1984) yang kemudiannya menjadi Falsafah Batu Api (Mac 1991) diasaskan oleh Mishar, bekas pengasas Gila-Gila. Batu Api adalah nama sisipan untuk Gila-Gila. Ujang pula pernah dipimpin oleh Ujang yang sebelumnya menjadi ketua kartunis di Gila-Gila dan Ujang menerbitkan Lanun yang asalnya dinamakan Varia Lawak. Varia Lawak adalah sisipan kepada Ujang.

Nama Din Beramboi yang digunakan sebagai nama majalah oleh Tempo Publishing Sdn Bhd adalah berasaskan nama editor Ujang. Editor Varia Lawak dan Lanun juga menggunakan nama Din Beramboi walaupun nama Din Beramboi yang sebenar adalah editor Ujang. Bagaimanapun, nama majalah ini ditukar kepada Din Lawak mulai Mac 1997. Kemudiannya kartunis Cabai, seorang kartunis wanita yang popular di Gila-Gila menerbitkan majalahnya sendiri dengan nama Cabai. Don dan Long, dua orang kartunis yang awal di Gila-Gila telah menyertai Batu Api dan kemudiannya OK, sebuah majalah humor berbentuk agama yang diterbitkan oleh bekas pengikut Al-Arqam. Rosdin yang turut terlibat dalam penerbitan awal Gila-Gila membantu penerbitan OK. Kartunis-kartunis di Batu Api kebanyakannya pernah menjadi kartunis di Gila-Gila.

Secara umum, kemunculan Gila-Gila yang meniru konsep Mad dari Amerika Syarikat pada April 1978 telah menyemarakkan penerbitan humor dalam bahasa Melayu. Daripada Gila-Gila inilah kebanyakan majalah humor yang lain diasaskan. Namun begitu, sementara Gila-Gila terus menjadi majalah humor yang paling utama dan teguh di pasaran, majalah-majalah yang lain masih terus mencari-cari ruang untuk bernafas kerana sifatnya yang circulation based dan sukar menarik iklan.



NOTA: Artikel ini merupakan salinan semula daripada kertas kerja Prof Madya Dr Hamedi Mohd Adnan dari Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya pada tahun 1997. Terdapat sedikit penyuntingan dan olahan semula bagi disesuaikan dengan pembacaan di blog ini.

Majalah Humor Melayu Dan Cabaran Pemasarannya - Bhg. 1...
Majalah Humor Melayu Dan Cabaran Pemasarannya - Bhg. 2...
Majalah Humor Melayu Dan Cabaran Pemasarannya - Bhg. 4...
Majalah Humor Melayu Dan Cabaran Pemasarannya - Bhg. 5...
 

No comments: