18 May 2014

MAJALAH HUMOR MELAYU DAN CABARAN PEMASARANNYA - BHG. 4...

CABARAN PEMASARAN MAJALAH-MAJALAH HUMOR
DISEBABKAN majalah-majalah humor Melayu terlalu bergantung kepada sirkulasi, maka cabaran dan persaingan yang terpaksa dihadapinya cukup hebat dan sengit. Mana yang tidak mampu bersaing akan terpaksa berundur dari pasaran, sambil mencari-cari jalan bagaimana untuk bersaing lagi pada masa hadapan.


Batu Api, bilangan 2,
Februari 1984.
Kebanyakan majalah humor yang telah diberhentikan itu tidak sebenarnya terus mati. Penerbit masih memegang permit KDN untuk majalah itu dan mereka akan menerbitkan majalah itu semula jika memperoleh modal atau jika mempunyai kakitangan yang cukup untuk menguruskan penerbitannya. Contohnya ialah Batu Api (Januari 1984) yang diterbitkan oleh Creative Holdings Sdn. Bhd. Selepas penerbitannya berhenti pada akhir tahun 1990, Mishar yang memegang permit KDN majalah itu menerbitkannya semula dengan nama Falsafah Batu Api pada 15 Mac 1991 dengan Creative Masters yang diongkosi oleh Kumpulan Melawar. Setelah berhenti pada tahun 1993, majalah itu diterbitkan semula pada Oktober 1997 apabila Mishar mendapat bantuan daripada Syarikat Al-Habshee yang mengedarkan majalah itu. Hal ini turut berlaku kepada Ujang yang terpaksa dihentikan penerbitannya oleh Kharisma Publications apabila Ujang dan rakan-rakannya menubuhkan Multi Triple Vision untuk menerbitkan Varia Lawak. Ujang diterbitkan semula pada 1 Ogos 1997 setelah tidak terbit selama empat bulan.


Majalah Varia Lawak,
bilangan 3.
Secara umum, cabaran-cabaran yang terpaksa dihadapi oleh penerbit dalam penerbitan majalah humor dapat dikategorikan kepada empat perkara, iaitu berhubung dengan product, price, physical distribution dan promotion. Dalam ilmu pemasaran, inilah konsep 4P yang masih terus dianggap penting. Konsep-konsep ini dikemukakan oleh Kotler, dan kemudiannya diperkukuhkan lagi oleh McCarthy. Kejayaan atau kegagalan penerbit banyak bergantung kepada empat elemen itu kerana setiap satunya saling berhubung. Gagal salah satu daripada empat perkara itu, bermakna penerbit majalah tidak mampu untuk terus bersaing dalam pasaran yang terbatas di samping bersaing dengan media elektronik seperti radio dan televisyen dan media baru seperti internet.

KANDUNGAN MAJALAH
SEBAGAI suatu product, majalah haruslah dapat menarik perhatian orang ramai sama ada dari segi isi ataupun bentuk. Kandungan majalah humor harus lebih menjurus kepada sesuatu perkara memandangkan majalah humor berbentuk umum kurang mendapat tempat pada masa ini. Penerbit, terutamanya editor harus dapat memahami dan seterusnya melayani segmen pembacanya. Mereka harus arif dengan demografi pembacanya dan kandungan majalah harus mampu memenuhi keinginan mereka.


Gelihati, 1 September 1994.
Lukisan cover oleh A.Z.
 Atas sebab itu, kita perhatikan kini banyak majalah yang diterbitkan untuk pembaca yang khusus. Umpamanya sasaran pembaca Gila-Gila, Gelagat, Gelihati dan Ujang adalah golongan remaja, walaupun Gila-Gila cenderung memaparkan humor yang natural, sementara tiga majalah yang lain itu pula cenderung mengetengahkan humor yang dipaksa-paksa sehingga kadang-kala tidak logik dan memperbodoh-bodohkan pembacanya. Lanun pula cuba menonjolkan imej Islam walaupun nama majalah itu kurang sesuai dengan imej dan mesej yang mahu dibawanya.

Lanun mahu menarik segmen pembaca majalah OK yang terpaksa diberhentikan pada Julai 1996 apabila isu menghidupkan semula Al-Arqam timbul. Pada masa yang sama ia mahu mengekalkan golongan remaja awal yang sebelumnya menjadi pengikut kartunis Ujang. Untuk menarik perhatian suatu segmen pembaca lagi, iaitu mereka yang gemar memancing, Lanun memperkenalkan sisipan Buletin Lubuk yang mengandungi kartun-kartun dan maklumat di sekitar hobi memancing. Cabai pula khusus untuk perempuan walaupun Gila-Gila sendiri sebenarnya mempunyai sisipan yang dinamakan Minah Leter.


Majalah Cabai, bilangan 10,
Januari 1998.
Walaupun lazimnya editor majalah humor terdiri daripada bukan kartunis, tetapi penulis, namun mereka harus memahami konsep dan imej kartun atau humor di samping mesej yang mahu disampaikan oleh majalah. Editor perlu kritis di samping mampu menjadi pemberi idea kepada kartunis dan penapis yang berkesan untuk pembaca. Di samping itu, kemampuan editor untuk menanggapi kehendak dan apa yang diingini pembaca juga merupakan suatu cabaran yang cukup besar. Lebih-lebih lagi dalam pasaran majalah humor Melayu yang terlalu bergantung kepada sirkulasi dan keadaan pasaran yang sangat sengit. Masing-masing cuba menarik perhatian khalayak sasaran yang sama.

Kemampuan editor untuk menarik pembaca yang baru di samping mengekalkan pembaca yang lama merupakan anugerah. Tidak ramai editor yang mampu berbuat demikian, hatta di negara-negara Barat. Oleh sebab itu, salah satu faktor kegagalan majalah ialah ketidakmampuan editor untuk menyunting atau menulis dengan menarik untuk segmen pembacanya yang sentiasa berubah itu.

CITARASA PEMBACA
KAKITANGAN editorial pula haruslah cukup peka dengan citarasa dan kehendak pembacanya. Mereka harus berubah selaras dengan perubahan pembaca. Pada masa yang sama mereka juga harus mampu menarik pembaca yang baru.

Editor perlu menyelami perasaan pembacanya. Oleh sebab itu, di hadapan meja editor yang peka akan terpampang gambar seorang atau beberapa orang yang mewakili keseluruhan pembacanya. Di hadapan meja editor majalah Teen di London umpamanya, terpampang sekeping gambar seorang gadis yang memakai baju T dan berseluar jeans, sedang ketawa dengan riang. Editornya, Sally Herbert akan sentiasa memandang gadis itu; dia akan menulis untuk gadis itu, akan menyunting tulisan orang lain untuk bacaan gadis itu, akan memilih gambar yang sesuai untuk tatapan gadis itu. Sally sentiasa menyelami perasaan gadis itu dan citarasanya. Sally sentiasa membayangkan dirinya sebagai gadis itu. Baginya, gadis itu adalah pembacanya.

Kandungan majalah pula harus diperkuat dengan bentuk, iaitu elemen-elemen yang bersifat sebagai mekap majalah seperti penggunaan empat warna, perekaan yang menarik, gambar-gambar yang sesuai, cover majalah yang menonjol, kertas yang baik, penggunaan rupa taip yang tepat, dan sebagainya. Gabungan daripada faktor-faktor itu akan dapat menghasilkan sebuah majalah yang baik, bermutu dan mampu bertahan di pasaran.

HARGA MAJALAH
WALAU bagaimanapun, product yang baik sahaja tidak memadai. Untuk bertahan di pasaran, majalah yang baik harus disokong dengan harga yang tepat. Harga yang tepat ialah harga yang sesuai kepada pembaca sehingga mereka tidak berasa keberatan untuk membelinya dan sesuai kepada penerbit sehingga mampu memperoleh untung dalam projek penerbitan majalahnya. Harga yang murah sahaja tidak memadai, sebaliknya perlu diambil kira kos untuk menerbitkan majalah supaya akhirnya nanti penerbit memperoleh sedikit untung untuk membolehkannya bertahan di pasaran.

Untuk majalah yang pendapatan penerbit terlalu bergantung kepada sirkulasi, harga majalah yang rendah menyebabkan margin untung penerbit rendah. Oleh itu, penerbit harus menjual majalah dengan naskhah yang banyak. Bagi majalah yang menikmati kadar iklan yang tinggi pula, harga majalah tidak semestinya direndahkan semata-mata kerana pendapatan daripada iklan sudah memadai. Dalam banyak keadaan harga majalah yang rendah akan menggambarkan kerendahan mutu majalah itu. Oleh yang demikian, majalah seperti itu mungkin sukar menarik pembaca yang baru.

Berhubung harga, penerbit perlu mengambil kira pendapatan sebenar yang mungkin diperolehnya daripada sesuatu naskhah majalah. Harga majalah RM5 tidak bermakna pendapatan penerbit juga RM5. Penerbit terpaksa menolak kos pengeluaran majalah itu yang mungkin RM1.90. Selain itu, ia juga harus menolak diskaun yang diberi kepada pengedar atau penjual yang lazimnya 40 peratus atau RM2. Jumlah RM1.10 yang berbaki bukan lagi untung kepada penerbit kerana ia terpaksa pula menolak bayaran kepada penyumbang dan belanja promosi. Akhirnya, untung penerbit daripada jualan satu naskhah majalahnya hanyalah 20-70 sen. Jika majalah itu dapat dijual sehingga 100,000 naskhah, penerbit mungkin memperoleh RM70,000 untuk satu keluaran. Jumlah itu mungkin cukup untuk membayar gaji, sewa dan penyelenggaraan pejabat, dan pinjaman. Tetapi jika majalah yang laku hanya 10,000, pendapatan kasar penerbit hanya RM7,000 – suatu jumlah yang agak kecil yang mungkin memaksa penerbit menghentikan penerbitannya. Jumlah itu pula hanya akan diperoleh setelah sekurang-kurangnya tiga bulan, iaitu tempoh kredit yang lazimnya diberi kepada pengedar atau penjual majalah.

Oleh yang demikian, dalam peletakan harga, pelbagai faktor harus diambil kira. Hukum permintaan bahawa semakin tinggi harga semakin sedikit kuantiti yang dibeli harus benar-benar difahami penerbit untuk disesuaikan dengan majalah terbitannya.



NOTA: Artikel ini merupakan salinan semula daripada kertas kerja Prof Madya Dr Hamedi Mohd Adnan dari Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya pada tahun 1997. Terdapat sedikit penyuntingan dan olahan semula bagi disesuaikan dengan pembacaan di blog ini.

Majalah Humor Melayu Dan Cabaran Pemasarannya - Bhg. 1...
Majalah Humor Melayu Dan Cabaran Pemasarannya - Bhg. 2...

Majalah Humor Melayu Dan Cabaran Pemasarannya - Bhg. 3...
Majalah Humor Melayu Dan Cabaran Pemasarannya - Bhg. 5...
 

03 May 2014

MAJALAH HUMOR MELAYU DAN CABARAN PEMASARANNYA - BHG. 3...

Gila-Gila keluaran pertama,
April 1978.
MUNCULNYA GILA-GILA
PENERBITAN Murni diubah kepada Creative Enterprise pada tahun 1976 dan berpejabat di Tynton View, Cheras sebelum berpindah ke Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur pada tahun 1978. Gabungan ilustrator dan kartunis muda seperti Mishar yang juga penulis, Jaafar Taib, bekas ilustrator di Syarikat Utusan Melayu dan Syarikat Variapop, Zainal Buang Hussein, bekas ilustrator di Syarikat Utusan Melayu bersama-sama Azman Yusof yang pernah menjadi ilustrator di Variapop, Rosdin, Rejabhad yang selepas menjadi tentera cuba menerokai bidang perkartunan, dan Nan yang juga ilustrator di Utusan Melayu telah melahirkan Gila-Gila pada April 1978. Penerbitan Gila-Gila ini menjadi turning point terhadap perkembangan majalah-majalah humor yang sehingga kini mendominasi majalah-majalah Melayu, bersama-sama majalah wanita dan hiburan.

Mishar, pengasas Gila-Gila,
Batu Api
dan Falsafah Batu Api.
 Gila-Gila terbit daripada pengaruh majalah Mad dari Amerika Syarikat dan nama majalah itu sendiri diperoleh daripada Mad. Pada peringkat awal terbitannya, banyak kartun dan teknik perkartunan Gila-Gila yang dicedok atau diubah suai daripada Mad sehingga jelas bahawa Gila-Gila pada peringkat awal merupakan carbon copy kepada Mad. Namun, kandungan Gila-Gila cukup sesuai dengan pembaca Melayu yang rata-rata kurang sedar akan kehadiran Mad dalam lingkungan pembacaan mereka.

Minat pembaca Melayu yang ketika itu masih didefinisikan dengan majalah berbentuk hiburan dieksploitasi dengan bijak oleh para penulis dan kartunis awal Gila-Gila. Majalah itu masih mahu memaparkan mesej hiburan dengan imej kartun kerana itulah yang diminati pembaca pada ketika itu. Kartun-kartun utama dalam keluaran awal Gila-Gila lazimnya merupakan tayangan semula filem-filem Melayu yang popular dalam bentuk kartun. Dalam keluaran pertama umpamanya, populariti pelawak A.R. Badul yang ketika itu sedang top dengan filem Si Badulnya, dikartunkan oleh Gila-Gila. Dengan berbuat demikian, kartunis mempunyai rujukan cerita humor yang mahu dipaparkannya, cuma memerlukan ubah suai babak-babak yang menarik perhatian.

Gila-Gila keluaran pertama diterbitkan sebanyak 9,000 naskhah, tetapi dalam tempoh seminggu sahaja, majalah itu habis dijual sehingga memaksa penerbitnya mengulang cetak majalah itu - suatu hal yang amat luar biasa dalam penerbitan majalah Melayu. Atas permintaan ramai, Gila-Gila mula diterbitkan secara dwimingguan mulai 1 Februari 1979 sehinggalah edaran puratanya melebihi 100,000 setiap keluaran dengan purata sirkulasi pada 1993 mencapai 150,000 naskhah.

PENGARUH GILA-GILA
KEJAYAAN Gila-Gila ini membuka mata para pengusaha penerbitan di negara ini bahawa majalah bercorak humor boleh diterokai untuk memperoleh untung, bukan lagi majalah-majalah hiburan yang menjadi dominan sebelum kemunculan Gila-Gila itu. Hasilnya, pelbagai jenis dan nama majalah humor lain diterbitkan dan walaupun sebahagian besar majalah itu tidak mampu bertahan lama di pasaran, namun beberapa buah majalah humor telah dapat bertahan sehingga lebih 20 atau 10 tahun. Ini menunjukkan bahawa penerbitan majalah-majalah yang dapat bertahan lama itu menguntungkan atas fahaman umum bahawa keuntungan yang selesa dalam penerbitan majalah dapat diperoleh jika dapat bertahan di pasaran lebih empat tahun. Pendapat umum di kalangan penerbit majalah di negara ini menyatakan bahawa empat tahun merupakan masa yang munasabah untuk mengukur kejayaan sesebuah majalah dari segi komersial. Lazimnya penerbit akan mengalami kerugian pada tahun pertama, mencapai break-even point pada tahun kedua, dan memperoleh sedikit untung pada tahun ketiga. Bagaimanapun pada tahun ketiga itu digunakan untuk menampung kerugian pada tahun pertama.


Keluaran pertama majalah Ujang,
Januari 1994.
Satu hal yang menarik ialah kebanyakan majalah humor sama ada yang pernah diterbitkan atau masih dalam penerbitan kini mempunyai hubungan langsung atau tidak langsung dengan Gila-Gila. Kedudukan ini samalah dengan kedudukan majalah-majalah tentang wanita yang mempunyai hubungan langsung atau tidak langsung dengan majalah Wanita. Umpamanya, majalah-majalah Batu Api (Januari 1984) yang kemudiannya menjadi Falsafah Batu Api (Mac 1991) diasaskan oleh Mishar, bekas pengasas Gila-Gila. Batu Api adalah nama sisipan untuk Gila-Gila. Ujang pula pernah dipimpin oleh Ujang yang sebelumnya menjadi ketua kartunis di Gila-Gila dan Ujang menerbitkan Lanun yang asalnya dinamakan Varia Lawak. Varia Lawak adalah sisipan kepada Ujang.

Nama Din Beramboi yang digunakan sebagai nama majalah oleh Tempo Publishing Sdn Bhd adalah berasaskan nama editor Ujang. Editor Varia Lawak dan Lanun juga menggunakan nama Din Beramboi walaupun nama Din Beramboi yang sebenar adalah editor Ujang. Bagaimanapun, nama majalah ini ditukar kepada Din Lawak mulai Mac 1997. Kemudiannya kartunis Cabai, seorang kartunis wanita yang popular di Gila-Gila menerbitkan majalahnya sendiri dengan nama Cabai. Don dan Long, dua orang kartunis yang awal di Gila-Gila telah menyertai Batu Api dan kemudiannya OK, sebuah majalah humor berbentuk agama yang diterbitkan oleh bekas pengikut Al-Arqam. Rosdin yang turut terlibat dalam penerbitan awal Gila-Gila membantu penerbitan OK. Kartunis-kartunis di Batu Api kebanyakannya pernah menjadi kartunis di Gila-Gila.

Secara umum, kemunculan Gila-Gila yang meniru konsep Mad dari Amerika Syarikat pada April 1978 telah menyemarakkan penerbitan humor dalam bahasa Melayu. Daripada Gila-Gila inilah kebanyakan majalah humor yang lain diasaskan. Namun begitu, sementara Gila-Gila terus menjadi majalah humor yang paling utama dan teguh di pasaran, majalah-majalah yang lain masih terus mencari-cari ruang untuk bernafas kerana sifatnya yang circulation based dan sukar menarik iklan.



NOTA: Artikel ini merupakan salinan semula daripada kertas kerja Prof Madya Dr Hamedi Mohd Adnan dari Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya pada tahun 1997. Terdapat sedikit penyuntingan dan olahan semula bagi disesuaikan dengan pembacaan di blog ini.

Majalah Humor Melayu Dan Cabaran Pemasarannya - Bhg. 1...
Majalah Humor Melayu Dan Cabaran Pemasarannya - Bhg. 2...
Majalah Humor Melayu Dan Cabaran Pemasarannya - Bhg. 4...
Majalah Humor Melayu Dan Cabaran Pemasarannya - Bhg. 5...