08 July 2014

MAJALAH HUMOR MELAYU DAN CABARAN PEMASARANNYA - BHG. 5...

PENGEDARAN
SELAIN product dan price, physical distribution merupakan cabaran besar yang perlu dihadapi oleh penerbit dalam tahun-tahun akan datang. Soal pengedaran yang kurang cekap merupakan kelaziman dalam penerbitan majalah sejak bertahun-tahun. Pengedaran fizikal majalah dari pencetak kepada penerbit, dari penerbit kepada pengedar, dan dari pengedar kepada kedai atau gerai buku kini walaupun lebih cekap sejak kebelakangan ini, namun soal-soal yang melibatkan paperwork sering menjadi masalah. Hal ini lebih ketara jika pengedaran majalah diusahakan sendiri oleh penerbitnya selain pengedaran yang dilakukan secara pos kepada langganan tetap.

Walau apa pun alasannya, majalah bulanan harus tersedia di kedai atau gerai jualan sekurang-kurangnya pada dua hari bulan setiap bulan. Banyaknya majalah dan akhbar tabloid mingguan atau dwi mingguan di pasaran sering menjadikan majalah berbentuk bulanan cepat basi daripada yang sepatutnya. Pada satu-satu masa, sesebuah majalah terpaksa bersaing dengan hampir 100 buah majalah atau akhbar tempatan di kedai atau gerai buku. Mujurlah populariti majalah-majalah humor sering mendorong para peniaga meletakkan majalah-majalah itu di tempat yang lebih strategik, lazimnya berhampiran kaunter sehingga mudah dilihat berbanding majalah-majalah lain seperti Dewan Budaya, Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Mutiara Malaysia, Saji dan Dakwah yang dibiarkan bertindihan di antara satu sama lain di bahagian dalam kedai atau gerai dan di tempat yang cahaya lampunya malap pula.

Sememangnya terdapat diskriminasi dalam soal pengedaran ini. Pengedar yang mendapat diskaun yang tinggi, lebih 40 peratus, sudah tentu akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengedarkan atau menjual sesuatu majalah berbanding majalah yang diskaunnya lebih rendah. Diskaun kepada pengedar yang rendah akan memaksa pengedar memberi diskaun yang rendah juga kepada penjual. Sudah tentu penjual pula akan mengutamakan atau memberi perhatian yang istimewa kepada majalah yang menawarkan diskaun yang tinggi.

Pemberian diskaun yang tinggi akan menyukarkan penerbit, terutamanya yang majalahnya terlalu bergantung kepada iklan. Untuk memperoleh pendapatan yang munasabah, penerbit terpaksa menaikkan harga majalah sedangkan harga majalah yang tinggi sering menjadi alasan kepada orang ramai untuk tidak membelinya atau membeli majalah saingan yang lebih murah.

Keadaan seperti ini banyak memberi kelebihan kepada penerbit yang besar atau yang mempunyai rangkaian pengedaran yang cekap seperti Utusan Melayu Berhad dan New Straits Times Sdn. Bhd. Sementara penerbit yang kecil hanya bergantung kepada pendapatan jualan satu atau dua buah majalah yang edarannya terbatas dan tanpa pendapatan iklan, penerbit yang besar itu, dengan pendapatan iklan yang besar dan kemampuan pengedarannya yang cekap menjadi pemimpin harga sehingga berkeupayaan untuk membunuh para pesaingnya.

Tambahan pula, penerbit yang besar itu mempunyai rangkaian medianya sendiri yang dapat digunakan untuk mempromosikan majalah-majalah terbitannya. Dengan memiliki akhbar harian Utusan Malaysia dan Utusan Melayu di samping Mingguan Malaysia dan Utusan Zaman, majalah-majalah terbitan Utusan Melayu Berhad dapat diiklankan secara meluas dengan percuma atau kos subsidi. Hal ini ditambah pula dengan iklan di majalah-majalah lain yang diterbitkannya seperti Wanita, Mangga, URTV, Rias, Mastika, Hai, Saji, Karya dan Kawan.

Kelebihan yang sama dinikmati oleh New Straits Times dan Berita Publishing yang memiliki akhbar harian Berita Harian, Berita Minggu, The New Straits Times dan Harian Metro di samping majalah-majalah Anjung Seri, Jelita, Dataniaga, Citra, Her World, The Malaysian Business dan Investor Digest. Majalah-majalah itu boleh menampung iklan di akhbar atau majalah lain secara percuma atau dengan kos subsidi. Kelebihan-kelebihan seperti ini tidak dapat dinikmati oleh penerbit kecil kerana lazimnya mereka tidak mampu mengeluarkan perbelanjaan untuk membeli ruang iklan.

Oleh yang demikian, elemen akhir yang penting untuk memastikan sesbuah majalah bertahan di pasaran, iaitu promosi tidak dapat dijalankan dengan berkesan. Para penerbit mungkin menggunakan teknik-teknik promosi lain seperti pelancaran, pameran, peraduan, promosi jualan, dan sebagainya, tetapi iklan ruang memberi pengaruh yang lebih kuat untuk menarik perhatian orang ramai. Walau bagaimanapun, beberapa buah majalah yang diterbitkan oleh penerbit yang kecil masih mampu mengiklankan majalah masing-masing di akhbar atau majalah lain.


Isu Perdana majalah OK, Oktober 1995,
terbitan Karya One Sdn. Bhd.
Majalah Gila-Gila, Falsafah Batu Api, Ujang dan Lanun umpamanya sering diiklankan di akhbar utama, terutamanya pada masa awal terbitannya. Sebelum majalah-majalah terbitan Karya One Sdn. Bhd. digantung penerbitannya, majalah-majalah Ayu, Tatih, OK dan Dunia Baru sering diiklankan pada setiap hujung minggu sama ada di Mingguan Malaysia atau Berita Minggu. Penerbit itu dikatakan telah membelanjakan lebih RM500,000 untuk belanja promosi majalah-majalahnya sebelum timbulnya isu menghidupkan semula gerakan Arqam yang memaksa semua penerbitan Karya One Sdn. Bhd. diberhentikan.

KESIMPULAN
PENERBITAN majalah-majalah humor Melayu semasa banyak didorong oleh kejayaan Gila-Gila. Majalah itu menjadi pemimpin dalam pasaran majalah Melayu kini yang lebih dicirikan daripada perkiraan "ikut-ikut." Kejayaan sesebuah majalah di pasaran akan dengan pantasnya menjadi ikutan penerbit lain untuk menerbitkan majalah yang mempunyai konsep lebih kurang sama dengan majalah yang berjaya itu.


Majalah Gelagat keluaran
Disember 1994.
Walaupun banyak majalah sudah berkubur disebabkan kelemahan dalam salah satu atau semua elemen P (product, price, physical distribution, promotion) yang sudah dijelaskan, namun majalah Gila-Gila dan Gelihati dapat bertahan hampir 20 tahun, sementara Gelagat pula bertahan hampir 10 tahun.

Pada alaf akan datang, penerbitan majalah-majalah humor Melayu akan terpaksa berhadapan dengan cabaran yang lebih memeritkan. Kesukaran menjual ruangan masing-masing kepada pengiklan akan terus dihadapi penerbit. Sirkulasi akan terus memainkan peranan penting untuk meneruskan hayat majalah humor. Persaingan yang cukup sengit daripada komik-komik atau majalah humor asing yang diubah suai ke bahasa Melayu telah sedikit sebanyak menjejaskan pasaran, terutamanya untuk pembaca kanak-kanak.

Selain itu, kos pengeluaran majalah juga semakin meningkat. Hal ini berlaku disebabkan kecenderungan menggunakan empat warna, kertas yang bermutu, gambar-gambar yang lebih dominan daripada teks, dan perekaan yang lebih relax, tetapi padat di dalam majalah. Kos yang meningkat harus ditampung iklan untuk membolehkan majalah dijual dengan harga yang mampu menarik pembelian. Seandainya kadar iklan yang rendah seperti kini berterusan dan majalah masih terus bergantung kepada sirkulasi, masa depan majalah-majalah humor Melayu akan menjadi lebih malap. Hal ini menjadi bertambah buruk lagi dengan saingan media cetak lain, terutamanya akhbar dan buku atau media elektronik radio dan televisyen, serta internet.



NOTA: Artikel ini merupakan salinan semula daripada kertas kerja Prof Madya Dr Hamedi Mohd Adnan dari Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya pada tahun 1997. Terdapat sedikit penyuntingan dan olahan semula bagi disesuaikan dengan pembacaan di blog ini.

Majalah Humor Melayu Dan Cabaran Pemasarannya - Bhg. 1...
Majalah Humor Melayu Dan Cabaran Pemasarannya - Bhg. 2...
Majalah Humor Melayu Dan Cabaran Pemasarannya - Bhg. 3...

Majalah Humor Melayu Dan Cabaran Pemasarannya - Bhg. 4...
 

2 comments:

kak ti said...

ada lg ke dlm simpanan majalah ok tu. rasa mcm teringin nk baca keluaran dulu. kalau boleh share

kak ti said...

ada lg ke dlm simpanan majalah ok tu. rasa mcm teringin nk baca keluaran dulu. kalau boleh share