25 April 2014

MAJALAH HUMOR MELAYU DAN CABARAN PEMASARANNYA - BHG. 2...

SEJARAH AWAL PENERBITAN MAJALAH HUMOR 
PENERBITAN majalah berbentuk humor masih terlalu baru di negara ini. Majalah humor yang dikatakan pertama dalam bahasa Melayu ialah Ha Hu Hum yang hanya mula diterbitkan pada tahun 1974. Walau bagaimanapun, penemuan terkini menunjukkan bahawa sebelum Ha Hu Hum diterbitkan, terdapat dua buah majalah berbentuk humor dan komik yang diterbitkan setahun lebih awal, iaitu pada tahun 1973. Majalah-majalah itu ialah Jenakarama yang diterbitkan oleh Penerbitan Knight (Catur), Kuala Lumpur dan Gelaketawa yang diterbitkan dan diedarkan oleh Solo Enterprise, Katong, Singapore 15. Disebabkan keluaran kedua-dua majalah itu hanya menggunakan bilangan dan tidak menyatakan tarikh terbitan yang tepat, kesukaran timbul untuk menentukan tarikh yang tepat dan kekerapan majalah-majalah itu. Bagaimanapun kedua-duanya diterbitkan pada tahun 1973 dan nama pelukis yang paling dominan dalam kedua-duanya ialah S. Zain.

Sebelum itu, terdapat dua buah penerbitan, sebuah berbentuk akhbar dan sebuah lagi majalah yang seolah-olah berbentuk humor. Akhbar Warta Jenaka (7 September 1936) tidaklah memaparkan hal-hal yang menimbulkan kelucuan seperti yang seharusnya tergambar pada namanya. Akhbar terbitan Sayyid Hussein Ali Alsagoff bagi pihak Warta Malaya Press Limited itu lebih berupa sebuah akhbar hiburan dengan gambaran humor hanya terdapat daripada karikatur yang disiarkan di samping sesekali ulasan terhadap berita aneh yang berlaku.

Pada bulan yang sama, iaitu September 1936, sebuah terbitan yang kemungkinan berbentuk majalah humor turut diterbitkan. Sulaiman Ahmad yang penglibatannya dalam penerbitan banyak memainkan sensasi dan seks seperti yang ditunjukkan dalam Shorga Dunia (Mac 1936), Melayu Muda (13 Julai 1936) dan Dunia Sekarang (14 Julai 1934) menerbitkan majalah Penggeli Hati. Dalam iklan di Majalah Guru, 1 September 1936 dinyatakan bahawa majalah ini "… penuh dengan gambar-gambar kartun, cerita-cerita jenaka, pantun dan gurindam buat melapang, menyuka dan menggelikan hati." Malangnya, tidak ada sebuah naskhah pun majalah itu yang dapat diperoleh kini, hatta di British Museum dan dengan itu, dakwaan tersebut sukar dibuktikan.

Seperti kebanyakan penerbitan Melayu lain, Warta Jenaka terpaksa diberhentikan akibat Perang Dunia Kedua. Penggeli Hati sudah mati lebih awal lagi, selewat-lewatnya pada Mac 1937 apabila Sulaiman Ahmad tidak aktif lagi. Tahun-tahun selepas perang menyaksikan meledaknya gelombang penerbitan majalah hiburan yang berkisar di sekitar filem dan artis. Pembaca bahan terbitan Melayu ketika itu terdiri daripada pelajar sekolah dan lepasan sekolah yang rata-rata bilangannya yang sedikit itu tertumpu di bandar-bandar besar, terutamanya Singapura dan Pulau Pinang. Majalah-majalah hiburan mudah diterima dalam masyarakat Melayu yang secara relatif hidup dalam kesukaran untuk bersaing dengan bangsa-bangsa lain di kota-kota yang sedang cuba dibangunkan oleh penjajah British. Majalah-majalah tentang artis, gosip, gambar-gambar aksi lakonan yang kadangkala cukup ghairah dari Hollywood atau Bollywood atau dari Jalan Ampas sendiri menjadi resipi yang cukup mudah untuk menarik pembaca.

Walau bagaimanapun, majalah-majalah seperti Filem (Jun 1954), Filem Juita (Mei 1953), Filem Rakyat (15 Mac 1957), Filem Raya (20 April 1951), Gelanggang Filem (15 Mac 1958), Belia (8 April 1955), Bintang (Januari 1953), Bulanan Filem Raya (November 1952), Majalah Bintang (Mei 1955) dan sebagainya ini memberi ruang yang memadai untuk penyiaran bahan-bahan humor seperti cerita atau pengalaman lucu dan lukisan-lukisan kartun. Malahan, jumlah majalah yang ada ketika itu cukup banyak sehingga ruang-ruang yang diperuntukkan kepada bahan humor tidak mampu diisi oleh para penulis atau kartunis. Walau bagaimanapun, peranan lukisan kartun amat penting sebagai penyendal atau escapism daripada bahan-bahan hiburan yang lebih dominan.

Namun ada juga usaha untuk menerbitkan sebuah majalah yang menjurus kepada humor. Pada Jun 1958, Geliga Limited di Singapura menerbitkan sebuah majalah yang sebenarnya merupakan terbitan kembali Warta Jenaka yang mati akibat perang dahulu. Majalah yang juga dinamakan Warta Jenaka ini adalah dalam bentuk bulanan dengan motto "Bulanan Seronok dan Gelak Ketawa." Terdapat sedikit perubahan daripada konsep jenaka yang mahu diketengahkan melalui majalah ini daripada yang sebelumnya. Dalam keluaran Jun 1958 itu dinyatakan bahawa "… menyajikan majalah ini untuk pembaca-pembaca dengan tulisan-tulisan, rencana-rencana, cerita-cerita rekaan dan kelakar yang menggelikan yang semata-mata tujuan besar kami ialah untuk bacaan hiburan …" Namun demikian, konsep humor yang mahu diketengahkan pada ketika itu lebih didominasi teks, iaitu dengan pemaparan cerita-cerita yang dianggap lucu pada ketika itu atau ulasan-ulasan peristiwa semasa secara kritis sehingga seolah-olah peristiwa itu dipaksa-paksakan lucu kepada pembaca. Lukisan kartun yang mendefinisikan konsep majalah humor pada waktu ini walaupun ada, tetapi tidak menjadi bahagian yang penting.

Majalah Warta Jenaka ini tidak dapat bertahan lama memandangkan kecenderungan pembaca atau pasaran utama ketika itu adalah majalah hiburan picisan. Pemberhentian majalah ini pada akhir tahun 1958 meninggalkan ruangan kosong dalam penerbitan majalah humor dalam bahasa Melayu sehinggalah terisi dengan terbitnya Jenakarama dan Gelaketawa pada tahun 1973 dan seterusnya Ha Hu Hum pada awal tahun 1974. Tarikh sebenar pemberhentian majalah ini di pasaran tidak dapat dipastikan. Naskhah paling akhir di Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka ialah pada Disember 1958. Tidak jelas sama ada majalah ini diterbitkan pada tahun 1959 dan kalau ada pun, tiada naskhah lagi yang dapat diperoleh melainkan Warta Jenaka edisi lama yang tarikh akhir penerbitannya ialah pada 4 September 1941.

Seperti halnya dengan Jenakarama dan Gelaketawa, tidak ada masa yang spesifik tentang tarikh penerbitan pertama Ha Hu Hum, tetapi pada tahun 1974 itu enam keluaran Ha Hu Hum telah diterbitkan. Dengan menggunakan cogan kata "Menghibur Anda Tua dan Muda", Ha Hu Hum merupakan cetusan hati para kartunis dan pelukis yang cukup dahagakan suatu medium khusus untuk mengasah atau mengembangkan bakat masing-masing. Walaupun ruangan di majalah-majalah lain sememangnya ada, tetapi golongan ini memerlukan suatu wadah yang khusus, yang tidak menumpang mana-mana majalah lain. Dalam keluaran pertamanya, dinyatakan bahawa "Ha Hu Hum ialah hati, dari hati ke hati, yang lama menjerit, yang lama terpendam, mau tunjuk sesuatu, sejak berbunga. Ha Hu Hum ialah suara, malah suara suara, yang mau membelah rasa, pada kita yang suka tawa, pada kita dahaga senda…"


Rejabhad bertindak sebagai
editor majalah Ha Hu Hum.
Ha Hu Hum mengumpulkan beberapa orang kartunis Melayu yang ada ketika itu. Nama-nama kartunis seperti Teety Zamrud, Nasah, Dino, Rossem, Wahidi, Abe Rashid, M. Daud Syukur dan Rejabhad sendiri sebagai editornya merupakan barisan kartunis yang terawal mahu meneroka kartun sebagai suatu usaha mencari rezeki. Pada masa yang sama atau kemudiannya, apabila penerbit Syarikat Suarasa menerbitkan majalah-majalah komik seperti Bambino, Bujal, Rina, Anak Rusa Nani, Dewi Sakti, Scope, Pendita dan Spektra, nama-nama lain yang mula menerokai dunia komik dan kemudiannya mendefinisikan dunia perkartunan Melayu mula muncul untuk berjuang bersama-sama mereka. Antaranya ialah Rosdin, Raja Hamzah, Sulaiman Awang, Mishar, Lat, Jaafar Taib, Zainal Buang Hussein, Nan, Mohd. Zohri Sukimi dan Azman Yusof.

Walau bagaimanapun, Ha Hu Hum tidak dapat bertahan lama. Terdapat pertentangan pendapat di antara editornya, Rejabhad dengan pengarah urusannya, Tajul Ariffin tentang konsep kartun yang mahu ditonjolkan di majalah itu. Sementara Tajul Ariffin (yang apabila menyertai gerakan Al-Arqam kemudiannya menjadi sidang pengarang beberapa buah majalah terbitan gerakan itu) berpendapat bahawa kartun untuk kanak-kanak sahaja dan tidak melihat peluang pasaran yang cerah pada masa hadapan, Rejabhad tetap dengan pendiriannya bahawa kartun adalah sesuai untuk golongan masyarakat.


Bujal, bilangan 49, Julai 1979,
terbitan Raz Studio.
Syarikat Suarasa berpecah dengan Mishar, Jaafar Taib, Zainal Buang Hussein, Rejabhad dan Rosdin bersama-sama menubuhkan Penerbitan Murni pada awal tahun 1975. Selain menerbitkan komik Murni, mereka turut menerbitkan Bambino, Medan Pelajar dan Guntur. Razali MHO, yang sebelumnya menjadi pengarah Syarikat Suarasa, menubuhkan Raz Studio yang menerbitkan Bujal dan Salina - dua buah majalah komik. Pemberhentian majalah Ha Hu Hum ini meninggalkan aspek humor dalam penerbitan majalah kepada majalah-majalah komik yang sedikit sebanyak turut memuatkan lukisan-lukisan atau tulisan humor walaupun hanya sebagai penyendal. Pada masa yang sama, pelbagai majalah lain yang ada di pasaran seperti lazimnya menyediakan ruangan-ruangan tetap untuk diisi dengan komik atau kartun sebagai penyendal atau sebagai alat untuk merehatkan bacaan pembaca setelah membaca sebahagian besar atau keseluruhan majalah itu. Oleh sebab itu, lazimnya ruangan-ruangan humor seperti ini diletakkan di bahagian-bahagian akhir majalah.



NOTA: Artikel ini merupakan salinan semula daripada kertas kerja Prof Madya Dr Hamedi Mohd Adnan dari Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya pada tahun 1997. Terdapat sedikit penyuntingan dan olahan semula bagi disesuaikan dengan pembacaan di blog ini.

Majalah Humor Melayu Dan Cabaran Pemasarannya - Bhg. 1...
Majalah Humor Melayu Dan Cabaran Pemasarannya - Bhg. 3...
Majalah Humor Melayu Dan Cabaran Pemasarannya - Bhg. 4...
Majalah Humor Melayu Dan Cabaran Pemasarannya - Bhg. 5...
 

19 April 2014

MAJALAH HUMOR MELAYU DAN CABARAN PEMASARANNYA - BHG 1...

PENDAHULUAN

PENERBITAN majalah di negara ini mempunyai hubungan rapat dengan penerbitan akhbar. Pada tahap awal abad ke-20, penerbit majalah juga merupakan penerbit akhbar. Walau bagaimanapun, perkembangan penerbitan majalah Melayu lebih pesat daripada penerbitan akhbar. Menjelang tahun 1940, sebanyak 129 buah periodikal diterbitkan dengan 76 daripadanya majalah. Penyelidikan oleh Roff pula mendapati sebanyak 172 periodikal diterbitkan di antara 1876 sehingga 1941 dengan 114 daripadanya merupakan majalah. Jumlah ini bertambah kepada 241 pada tahun 1968. Menjelang tahun 1997, sebanyak 834 buah majalah dalam bahasa Melayu telah diterbitkan. Ini menunjukkan bahawa sejak tahun 1968 hingga 1997, penerbitan majalah-majalah dalam bahasa Melayu telah bertambah sebanyak 288 peratus.

Dalam tempoh tujuh tahun dalam dekad 90-an, sebanyak 143 buah majalah telah diterbitkan dan jumlah ini mengatasi jumlah majalah yang diterbitkan dalam tahun 1980-an. Hal ini menunjukkan bahawa jumlah majalah yang diterbitkan semakin bertambah walaupun saingan yang terpaksa dihadapi sama ada daripada majalah yang lain atau media yang berhubungan dengannya semakin sengit. Yang jelas, pengembangan media lain seperti buku, akhbar, radio dan televisyen serta pengenalan media baru seperti internet tidak banyak menjejaskan penerbitan majalah di negara ini. Malahan dalam beberapa keadaan, media-media itu turut berperanan untuk melahirkan majalah-majalah baru.

Majalah, yang berasal daripada kata Arab, makhazin, merupakan campuran pelbagai jenis tulisan dan gambar yang dipersembahkan untuk memberi pengetahuan, maklumat atau hiburan. Atas sifatnya sebagai storehouses yang mengandungi pelbagai maklumat yang ringkas dan tepat, majalah mudah dijadikan bahan bacaan ringan dan ringkas yang tidak dapat disediakan oleh buku dan menyiarkan analisis serta preview yang tidak dapat disuguhkan oleh akhbar. Sifat majalah cukup sesuai dengan masyarakat yang rata-rata bukan "masyarakat pembaca." Oleh sebab itu, majalah yang paling laris lazimnya kurang menyiarkan teks tetapi gambar-gambar dan lukisan kartun.

Dalam perusahaan penerbitan majalah Melayu kini, terdapat lima faktor utama yang menentukan arah dan alirannya. Faktor-faktor itu ialah kejayaan majalah Gila-Gila, kejayaan Wanita, kebangkitan semula Islam, kejayaan URTV dan kejayaan Roda-Roda. Kelima-lima faktor itu menentukan arah aliran dan perkembangan majalah-majalah Melayu semasa dan mungkin sehingga suku abad akan datang. Secara kebetulan pula, faktor-faktor majalah yang disebutkan itu, kini memimpin majalah-majalah yang sejenis dengannya.

Gila-Gila sudah hampir 20 tahun memimpin majalah humor, Wanita pula terus mendahului majalah-majalah wanita lain, URTV terus mengepalai majalah-majalah hiburan dan Roda-Roda mampu mengetuai majalah-majalah berbentuk hobi dan sukan, walaupun kedudukannya tidak sekukuh tiga majalah yang disebutkan tadi. Satu faktor lagi, iaitu kebangkitan semula Islam, tidak dikepalai mana-mana majalah, sebaliknya lebih kurang 12 majalah berbentuk agama bersaing sesama sendiri untuk menarik minat pembaca.

Penerbitan majalah-majalah Melayu sekurang-kurangnya sejak awal tahun 1980-an, banyak ditentukan daripada faktor-faktor itu. Jumlah majalah Melayu yang terdapat di pasaran negara ini bertambah daripada 60 buah pada tahun 1990 kepada 93 buah pada Oktober 1997. Secara purata, 18 buah majalah baru diterbitkan setiap tahun dengan sembilan buah diberhentikan. Sejak tahun 1995, jumlah majalah baru yang diterbitkan setiap tahun melebihi 20 buah.

Angka-angka tersebut menunjukkan bahawa walaupun terdapat kenaikan dari segi kos pengeluaran majalah, terutamanya akibat kenaikan kos kertas mulai Julai 1995, pengeluaran majalah-majalah baru tidak terjejas. Dalam tempoh tujuh tahun sejak 1990, sebanyak 28 buah majalah humor telah berada di pasaran. Daripada jumlah itu, 13 buah majalah tidak dapat bertahan dengan empat buah daripadanya hanya dapat bertahan kurang setahun. Selain majalah wanita yang dalam tempoh itu bilangannya 34 buah, majalah berbentuk humor cukup banyak diterbitkan.


NOTA: Artikel ini merupakan salinan semula daripada kertas kerja Prof Madya Dr Hamedi Mohd Adnan dari Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya pada tahun 1997. Terdapat sedikit penyuntingan dan olahan semula bagi disesuaikan dengan pembacaan di blog ini.

Majalah Humor Melayu Dan Cabaran Pemasarannya - Bhg. 2...
Majalah Humor Melayu Dan Cabaran Pemasarannya - Bhg. 3...
Majalah Humor Melayu Dan Cabaran Pemasarannya - Bhg. 4...
Majalah Humor Melayu Dan Cabaran Pemasarannya - Bhg. 5...

18 April 2014

POTRET-POTRET TAIKUN...

POTRET-POTRET di bawah ni asalnya aku lukis atas permintaan sorang kawan yang menjadi editor di sebuah majalah. Tapi aku tak tau sama ada tersiar atau tidak, sebab sejurus selepas aku serahkan lukisan aku ni, dia pun berenti dari majalah tu.

Aku taklah kisah sangat hal tersebut. Aku pun dah bagi tau kat kawan aku tu, terpulang pada dia nak pakai atau tidak.

Jadi untuk tatapan bersama, aku uploadkan potret-potret tu kat sini...






Tapi yang kat bawah ni bukan taikun aa... Ini self-potrait gua...